
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menegaskan peranan sebagai penggerak kemajuan negara dengan memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk kediaman, perniagaan, dan industri di seluruh Malaysia.
Sepanjang tahun kewangan 2025 (TK2025), TNB mencatat prestasi kewangan yang mampan. Ini memperkukuh keupayaan syarikat untuk menjana nilai jangka panjang kepada pemegang saham dan rakyat.
Kejayaan kewangan itu diterjemah kepada pelaburan bermakna yang memberi impak sosioekonomi, termasuk pembangunan sukan kebangsaan yang memberi manfaat kepada lebih 67,000 atlet dan penggiat sukan.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), TNB menekankan bahawa keutamaan mereka bukan sekadar keuntungan, tetapi menyalurkan pencapaian kepada projek yang mengukuhkan negara dan memberi manfaat nyata kepada rakyat.
TK2025 menunjukkan bagaimana TNB bukan sahaja mengekalkan prestasi kewangan yang kukuh, tetapi juga memastikan pencapaian itu kembali kepada rakyat dalam bentuk kestabilan tenaga, pembangunan sosioekonomi, dan pelaburan strategik untuk masa depan negara.