
Penyandang bagi jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang kosong masih menjadi tanda tanya selepas kenyataan Majlis Raja-Raja dikeluarkan tidak menamakan mana-mana individu.
Dalam kenyataan pada Rabu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hanya memaklumkan perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-269.
Menurutnya, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah disembahkan taklimat keselamatan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
“Perkara mengenai pelantikan-pelantikan telah pun dibincangkan dalam Mesyuarat tersebut, iaitu pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Presiden Mahkamah Rayuan dan Pelantikan Ketua Hakim Negara,” katanya.
Ketika ini jawatan Ketua Hakim Negara dipangku Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.