
PUTRAJAYA: Sesudah tujuh hari mendengar hujahan pembelaan berhubung tuduhan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib menyatakan Datuk Seri Najib Razak gagal memberikan penjelasan yang meyakinkan mengenai sumber dan aliran wang yang memasuki akaun peribadinya.
Menurut Ahmad Akram, kes pendakwaan diperkukuhkan lagi apabila tiada seorang pun penderma tampil bagi menyokong dakwaan bahawa dana itu adalah derma daripada pemerintah Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.
Sehubungan itu, pendakwaan memohon Mahkamah Tinggi untuk mensabitkan Najib terhadap pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk mendapat suapan dan pengubahan wang haram dana 1MDB.
Katanya, bekas Ahli Parlimen Pekan itu hanya bergantung kepada empat surat yang didakwa sebagai surat derma tanpa memberikan sebarang bukti kukuh seperti dokumen sahih, saksi, atau penderma sebenar.
“Keterangan mengenai derma Arab itu adalah kisah yang berlebih-lebihan melangkaui Hikayat Seribu Satu Malam, selain ia tidak berwibawa dan tidak boleh dipertahankan.
“Apa yang dikemukakan hanyalah cerita yang sudah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd sebelum ini,” katanya.
“Kisah mengenai derma Arab sebelum ini sudah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai sesuatu yang tidak boleh dipercayai, sukar dipertahankan dan tidak munasabah.
“Sebaliknya, pendakwaan menghujahkan, Datuk Seri Najib menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mempengaruhi keputusan serta tindakan dalam 1MDB, yang akhirnya menyebabkan berbilion ringgit disalurkan ke akaun peribadinya,” katanya.
Ahmad Akram menegaskan, bukti jelas menunjukkan Najib mempunyai kepentingan peribadi dalam keputusan yang dibuat oleh 1MDB dan mendapat manfaat langsung apabila sejumlah wang besar dikesan masuk ke akaun bank peribadinya.
Pendakwaan turut berhujah, tiada sebarang langkah ketelusan atau semakan sewajarnya, seperti yang sepatutnya dilakukan oleh seorang perdana menteri atau menteri kewangan apabila menerima sejumlah besar wang ke dalam akaun peribadi.
“Cubaan tertuduh untuk menjarakkan diri daripada keputusan operasi 1MDB tidak boleh diterima kerana bukti menunjukkan beliau campur tangan secara langsung dalam beberapa keputusan penting syarikat.
“Dengan itu kami menyatakan keseluruhan kes pendakwaan kekal kukuh, konsisten dan tidak terjejas walaupun selepas hujahan pembelaan dikemukakan,” katanya.
Ahmad Akram berkata demikian berkata demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pembelaan bagi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib.
Prosiding hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.
.