Strok Haba ‘Pembunuh Senyap’: Boleh Kritikal Dalam 20 Minit

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Strok haba kini dianggap sebagai ‘pembunuh senyap’ memandangkan ia boleh berlaku tanpa tanda amaran yang jelas dan mampu meragut nyawa dalam tempoh yang sangat singkat.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata perubahan daripada kelesuan haba kepada strok haba boleh berlaku antara 10 hingga 20 minit sahaja jika seseorang terdedah kepada haba melampau.

Menurut beliau, suhu badan mangsa boleh meningkat antara 10 hingga 20 darjah Celsius dalam tempoh kira-kira 20 minit, sekali gus menjadikan ia satu situasi kecemasan yang memerlukan tindakan segera.

“Secara fisiologi, tubuh manusia bertindak balas terhadap perubahan suhu melalui mekanisme seperti peluh dan aliran darah. Dalam keadaan panas, jantung perlu bekerja lebih kuat untuk memastikan peredaran darah lancar bagi melepaskan haba melalui kulit.

“Tindak balas ini boleh menjadi berbahaya kepada golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak, ibu mengandung dan pesakit kronik yang mempunyai keupayaan regulasi suhu badan yang lebih lemah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kenyataan itu menyusul selepas Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan kes kematian pertama membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun akibat strok haba pada 26 April lalu selepas menyertai acara larian 30 kilometer.

Dr Sharifa Ezat turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya lebih peka dan tidak memandang ringan risiko ini, selain menasihati orang ramai agar mengambil langkah pencegahan seperti memakai pakaian longgar serta memastikan pengudaraan yang baik.

Beliau juga menekankan kepentingan membezakan antara demam akibat jangkitan dan peningkatan suhu disebabkan cuaca panas, memandangkan kanak-kanak yang mengalami demam dalam cuaca panas berisiko menghadapi komplikasi lebih serius.