Kes Zara Qairina pertama didakwa ikut Akta Kanun Keseksaan (pindaan) 2025

Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Kes membabitkan pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir menjadi kes pertama didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 yang memperuntukkan kesalahan bagi perbuatan membuli.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelaksanaan pindaan terhadap Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan memperkukuh kuasa undang-undang ke atas perbuatan jenayah buli.

Beliau berkata, sejak pindaan Seksyen 507 Kanun Keseksaan dikuatkuasakan dan diwarta pada 11 Julai lalu, polis sudah membuka 11 kertas siasatan berkaitan buli.

“Kertas siasatan ini masing-masing ada bawah Seksyen 507B, 507C dan sebagainya… ini menunjukkan bahawa adanya penambahbaikan undang-undang itu yang membolehkan polis bertindak.

“Sekarang ini, macam kes Zara misalnya yang sudah dituduh hari ini, itu adalah tuduhan di bawah satu daripada seksyen yang kita pinda sebelum ini, menjadikan ini kes yang pertama kita tuduh (sejak pindaan),” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab celahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang membangkitkan isu tindakan polis yang disifatkan sebagai kurang pantas dalam menyiasat kes membabitkan laporan berkaitan buli termasuk di Johor baru-baru ini.