Kes Sulu: Keputusan Mahkamah Paris kemenangan besar

Foto MalaysiaKini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ yang dikeluarkan oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022, dan mengarahkan penuntut Sulu membayar kos berjumlah €200,000 kepada Malaysia.

Keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ dalam tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah itu disifatkan sebagai kemenangan besar kepada negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kemenangan itu bukan sahaja kejayaan undang-undang, malah kemenangan maruah, kedaulatan dan hak seluruh rakyat Malaysia terutama rakyat Sabah.

“Bagi pihak War Room Sekretariat Khas Sulu, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakan-rakan Kabinet Kerajaan Madani, pasukan perundangan Jabatan Peguam Negara (AGC), Wisma Putra, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta semua agensi kerajaan yang berganding bahu dalam menjalankan amanah demi kepentingan rakyat dan negara.

“Ia membuktikan iltizam Kerajaan Madani mempertahankan negara dengan berprinsip dan berpaksikan undang-undang,” katanya.