
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memperketat pemeriksaan ke atas juruterbang, kru kabin serta petugas penerbangan lain, susulan kes seorang juruterbang Malaysia Airlines (MAS) yang dikaitkan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu merupakan tindakan yang mampu dilaksanakan kementeriannya buat masa ini memandangkan MOT tidak menerima maklumat mengenai perkembangan siasatan polis, termasuk identiti suspek atau tangkapan yang dibuat, kerana kes berkenaan disiasat sebagai kes jenayah. Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Ketua Pengarah Penerbangan Awam ke-61 bagi Rantau Asia Pasifik (DGCA/61) di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan itu terletak di bawah bidang kuasa polis dan pihak berkuasa tersebut tidak berkewajipan memaklumkan perkembangan kepada kementerian. Namun, katanya, MOT akan memberikan kerjasama sepenuhnya termasuk menyediakan akses kepada kemudahan dan lapangan terbang, sebarang maklumat yang diperlukan serta petugas yang ingin ditemui atau disiasat polis. Beliau turut menyarankan agar sebarang pengumuman lanjut dibuat oleh pihak polis sendiri.
Pada 4 Sept lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata enam lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa berikutan penahanan seorang pembantu juruterbang warga Malaysia di Jakarta pada Julai lepas.
Tangkapan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada individu berusia 39 tahun berkenaan ketika disoal siasat pasukan JSJN yang dihantar ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos. Laporan media sebelum ini menyebut pembantu juruterbang itu ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah, dengan Polis Republik Indonesia (POLRI) dilaporkan menemui 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine bernilai kira-kira RM45 juta.
Sementara itu, mengulas lencongan penerbangan berikutan kejadian abu gunung berapi di Jakarta, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata Malaysia membantu dengan menyediakan lapangan terbang alternatif, dengan sebahagian pesawat yang sepatutnya menuju Jakarta dilencongkan ke KLIA.
Sumber : Bernama