
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan, empat surat derma Arab yang dijadikan sandaran oleh Datuk Seri Najib Razak untuk pembelaannya dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah palsu.
Memetik laporan media tempatan, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, berkata tiada sebarang pengesahan dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu bagi memastikan dana diterimanya benar-benar daripada Raja Arab Saudi ketika itu, Almarhum Raja Abdullah.
Tambah beliau, surat-surat terbabit tidak pernah dikemukakan dalam bentuk asal kepada mahkamah dan bekas Perdana Menteri itu hanya bersandarkan kepercayaannya kepada kerabat diraja Arab Saudi dan tiada bukti menunjukkan dana itu sepatutnya disalurkan secara berperingkat.
“Surat derma Arab adalah satu percubaan untuk mengabsahkan dakwaan sumbangan oleh tertuduh, namun kandungannya tidak menyokong naratif bahawa dana itu adalah sumbangan”
“Saksi pembelaan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut mengakui beliau tidak pernah mendengar secara langsung bahawa Almarhum Raja Abdullah berhasrat menyalurkan sumbangan kewangan kepada Najib”
Sequerah turut menegaskan, naratif derma atau sumbangan itu juga tidak direkodkan dalam Minit Mesyuarat Kabinet.
“Najib mempunyai sumber untuk mengesahkan kesahihan dana itu, namun memilih untuk menutup mata secara sengaja. Oleh itu, dana berkenaan adalah sangat meragukan,” katanya.
Mahkamah Tinggi memutuskan naratif sumbangan Arab adalah tidak berasas dan dana berkenaan sebenarnya berasal daripada 1MDB.
Keputusan itu dinyatakan Sequerah ketika membacakan keputusan pada akhir kes pembelaan membabitkan empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dihadapi Najib.