
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Putrajaya hari ini mendapati terdapat bukti bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah proksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengikut arahan ahli perniagaan itu kerana mereka percaya setiap arahannya datang daripada Najib.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, berkata mahkamah menerima keterangan saksi pendakwaan, termasuk pengurusan tertinggi 1MDB dan saksi lain seperti bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai dan memutuskan bahawa keterangan mereka boleh diterima.
Tegas beliau, mahkamah menolak hujahan pembelaan bahawa keterangan itu bersifat dengar cakap kerana ia disokong oleh bukti dokumen.
Menurut Sequerah, saksi pendakwan termasuk bekas Peguam Kanan 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan menunjukkan Jho Low bertindak sebagai orang tengah antara Najib dan 1MDB.
“Jho Low mengekalkan komunikasi dengan pegawai 1MDB dan menyampaikan arahan daripada tertuduh. Arahan daripada Jho Low berpunca daripada tertuduh, Jho Low adalah ejen kepada tertuduh”
“Meneliti talking points yang dikeluarkan Jho Low kepada pegawai 1MDB, ia adalah arahan rasmi yang menjadi panduan daripada Menteri Kewangan”
Menurut Hakim, saksi-saksi pendakwaan memberi keterangan bahawa e-mel, perkara yang dibangkitkan dalam perbincangan dan arahan ahli perniagaan dalam buruan itu menjadi sebahagian yang penting dalam aliran kerja operasi 1MDB yang kemudiannya membawa kepada berlakunya transaksi utama seperti usaha sama PetroSaudi, pemerolehan tenaga dan pengurusan dana.