Kertas Putih NAB 2025-2045 dibentang di Parlimen tahun ini

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan kesiapsiagaan menyeluruh negara mendepani status negara tua menjelang 2048, Kertas Putih mengenai Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) 2025-2045 akan dibentang di Parlimen tahun ini

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata langkah itu bagi memastikan adaptasi strategi di peringkat Persekutuan, kementerian dan kerajaan negeri dapat diselaraskan selain mendapat sokongan daripada semua pihak.

Beliau berkata, NAB menggariskan lima teras strategi utama merangkumi aspek ekonomi makro dan fiskal, pendidikan, kemahiran dan tenaga kerja, kesihatan sepanjang hayat, perlindungan sosial serta penjagaan jangka panjang.

“Fokus utama NAB juga telah diterjemahkan melalui strategi dan inisiatif khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran penuaan penduduk.

“Antara strategi yang akan dilaksanakan adalah melalui keutamaan peningkatan produktiviti dan daya saing negara, persediaan menuju negara tua, reformasi pasaran buruh termasuklah meningkatkan penyertaan pekerja berusia, wanita dan juga golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Akmal Nasrullah menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai strategi menangani impak penurunan kadar kesuburan nasional terhadap unjuran ekonomi negara dan perancangan khusus dalam RMK13 bagi memastikan keseimbangan demografi serta pembangunan wilayah dapat dicapai secara mampan di seluruh negara.

Beliau berkata langkah proaktif itu diambil berikutan unjuran Jabatan Perangkaan yang menunjukkan kadar kesuburan nasional dijangka merosot secara ketara kepada 0.7 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun menjelang 2050.