
SHAH ALAM: Timbalan Setiausaha DAP, Hannah Yeoh berkata kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diibaratkan seperti kapal dalam filem Titanic yang boleh karam pada bila-bila masa kerana tidak didasari nilai politik persahabatan.
Menurutnya, kedua-dua pihak hanya mahu pucuk pimpinan masing-masing dijulang dan bukannya kejayaan rakan kerjasama mereka, sekali gus menjadikan kerjasama itu rapuh kerana masing-masing bercita-cita menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berkempen di Kuala Klawang, Jelebu bagi membantu calon Pakatan Harapan, Datuk Ir Bakri Sawir yang mempertahankan kerusi DUN Klawang.
“Saya juga ingatkan kepada mereka yang hadir supaya tidak risau atau teruja melihat kerjasama di antara BN dan PN. Kerjasama itu tidak akan kekal lama kerana ia dibayangi dengan pengkhianatan dan mereka yang tidak setia kepada sebuah politik persahabatan,” katanya.