Kerajaan tolak sebarang penghinaan terhadap al-Quran: PM Anwar

Foto Bernama

PUTRAJAYA: Mana-mana pihak yang menghina al-Quran di negara ini dalam apa jua bentuk akan disiasat dan dikenakan tindakan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, polis sedang menyiasat dan masyarakat diingatkan supaya bersabar serta tidak tergesa-gesa menunggu keputusan.

Beliau berkata demikian ketika merujuk insiden memijak al-Quran baru-baru ini.

“Ini negara hukum. Kita tidak boleh mengetepikan prinsip undang-undang dalam sebarang tindakan.

“Islam ialah agama Persekutuan dan kita tidak boleh memandang ringan sebarang bentuk penghinaan, bukan sahaja terhadap Islam tetapi juga terhadap agama lain di negara ini, demi mengekalkan keharmonian,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Masyarakat Tempatan di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Sementara itu, Anwar menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap insiden penghinaan agama Islam, termasuk perbuatan memijak al-Quran.

“Apabila ada laporan mengenai penghinaan atau perbuatan memijak al-Quran, siapa kata tiada tindakan? Ada tindakan. Jangan bersikap tergopoh-gapah dan tidak sabar.

“Polis sudah mengambil tindakan dengan menahan individu terbabit dan menjalankan siasatan. Sama ada dia siuman atau tidak, itulah yang sedang disiasat,” katanya.