
PUTRAJAYA: Langkah menaikkan peruntukan RM2 bilion untuk membiayai proses pembayaran balik cukai kepada rakyat bertujuan mempercepatkan bayaran tertunggak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia adalah langkah yang wajar.
Tegas Perdana Menteri, tambahan daripada peruntukan sedia ada RM2 bilion itu juga selaras dengan prinsip moral dan ihsan di bawah gagasan Madani dan wajar dilaksanakan kerana kerajaan tidak seharusnya berhutang dengan rakyat seperti juga rakyat tidak sepatutnya berhutang dengan kerajaan.
Anwar berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan mula melaksanakan pembayaran berkenaan secara berperingkat mulai esok kepada pembayar cukai yang layak.
“Jika belum cukup, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican sedang meneliti bersama Ketua Pegawai Eksekutif LHDN untuk melihat bagaimana jumlah ini harus ditambah,” katanya.