
KUALA LUMPUR: Dakwaan media kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah tidak benar.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap media antarabangsa berkenaan terkait dakwaan itu.
“Selaras dengan pembentangan Jawatankuasa Siasatan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, prosiding sudah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Prosiding ini mempunyai proses dan tatacara yang perlu dipatuhi. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Bloomberg, yang memetik sumber, mendakwa Anwar meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan berkaitan isu pemilikan saham Azam.