Kerajaan Komited Perkukuh Hal-Ehwal Islam: PM

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Urusan hal-ehwal Islam secara inklusif dan berkesan akan terus diperkukuh bagi menjamin kesejahteraan umat dan keharmonian negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata komitmen itu akan direalisasikan menerusi semangat musyawarah antara negeri, berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta didukung oleh nilai dan aspirasi Malaysia Madani.

“Alhamdulillah, pagi ini saya menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-74 yang dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

“Titah dan nasihat tuanku yang menekankan amanah kepimpinan, pemerkasaan pendidikan serta pengurusan hal-ehwal Islam amat bermakna dan wajar dihayati bersama sebagai panduan dalam mendepani cabaran semasa, di samping membina kekuatan nilai, ilmu dan nurani umat Islam di negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anwar berkata mesyuarat berkenaan turut mencerminkan semangat muafakat dan kebersamaan di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri dalam merangka pandangan serta keputusan strategik demi kepentingan umat Islam, selaras dengan keperluan semasa dan realiti masyarakat majmuk Malaysia.