
KUALA LUMPUR: Rakyat Sabah sudah bersuara dan kerajaan Madani menghormati sepenuhnya kehendak pengundi, yang telah menyampaikan tuntutan jelas untuk perubahan melalui pilihanraya negeri semalam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian susulan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya mengalami kekalahan besar dalam pilihanraya itu, namun masih menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri baru di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), parti berasaskan Sabah yang dipimpin Ketua Menteri Hajiji Noor.
Anwar berkata, pentadbirannya akan terus konsisten dalam usaha reformasi bagi memperbaiki keadaan Sabah.
“Kerajaan Madani menghormati sepenuhnya mesej tegas dan jelas yang telah dilontarkan pengundi di Sabah, bahawa mereka menuntut perubahan yang nyata setelah sekian lama dihadapkan dengan ketidakadilan dan pengabaian oleh hampir semua parti sama ada dari Semenanjung mahupun Sabah sendiri.
“Alhamdulillah, dalam tiga tahun yang lalu, kami berusaha merungkai setiap isu yang diwarisi, termasuk soal tuntutan dan hak yang menyentuh kepentingan Sabah.
“Dalam tempoh singkat ini, beberapa kemajuan yang nyata telah dicapai berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Justeru itu, Kerajaan Madani akan terus konsisten di jalur pembaharuan ini sebagai usaha dan upaya kita melahirkan sebuah Sabah yang adil, saksama, makmur dan tidak lagi dipinggirkan.
“Suara rakyat Sabah adalah amanah yang mesti kita junjung dengan sikap pertanggungjawaban yang tinggi,” katanya.