
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM5.63 juta kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang mengalami kerosakan otak serius ketika dilahirkan di Hospital Teluk Intan pada 2017.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet, berkata kanak-kanak itu yang kini hidup dengan cerebral palsi spastik kuadriplegik (lumpuh) berhak menerima pampasan menyeluruh meliputi perbelanjaan lalu serta keperluan perubatan, pemulihan dan penjagaan sepanjang hayatnya.
Menurut dokumen mahkamah, kanak-kanak itu selaku plaintif dilahirkan pada 22 Januari 2017, namun mengalami kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak ketika proses kelahiran yang mengakibatkan hipoksik iskemik ensefalopati.
Kanak-kanak itu sehingga kini tidak mampu bergerak sendiri dan makan perlu disuap. Dia hanya boleh menggerakkan kedua-dua tangan untuk seketika.
Sejak lahir, plaintif bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Kanak-kanak itu melalui bapanya, memfailkan saman sivil terhadap kerajaan dan 15 doktor sebagai defendan.
Pada 22 Ogos 2022, kerajaan mengakui liabiliti dan mahkamah hanya perlu menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar.