Kerajaan Dapat RM1.66 Bilion Hasil Rasuah, Pengubahan Wang Haram

Foto Bernama

PUTRAJAYA: Sejumlah RM1.66 bilion hasil rasuah, penyeludupan dan pengubahan wang haram dibeku, disita dan dipulangkan kepada kerajaan sepanjang tempoh dua tahun lalu, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, semua rampasan itu membabitkan aset, wang tunai dan barangan berharga dalam pelbagai operasi yang dijalankan Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF).

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, 34 penjawat awam dan 27 orang awam juga ditahan dalam beberapa operasi menangani rasuah, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

“Daripada jumlah itu, seramai 25 penjawat awam berjaya dituduh dengan 352 pertuduhan dan lapan orang dikenakan tindakan tatatertib manakala hasil kutipan diperoleh sebanyak RM705.55 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

Tahun ini, Azam berkata, jumlah keseluruhan wang yang dipulangkan kepada kerajaan adalah RM960.73 juta, hasil daripada enam operasi yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Antara yang dibongkar adalah penyelewengan perolehan kontrak kerajaan membabitkan susu tepung dengan jumlah rampasan RM174.7 juta menerusi Ops White; Ops Knight bagi kes penipuan pelaburan durian di Raub, Pahang (RM16.15 juta); Ops X bagi kes penipuan wang kripto (RM28.6 juta).

“Ops Sikaro bagi kes sindiket penyeludupan rokok dan tembakau membabitkan rampasan RM218 juta; Ops Metal bagi kes sindiket penyeludupan besi dan e-waste (RM332.5 juta); Ops Karen bagi kes sindiket penyeludupan minyak diesel dan petrol (RM190.8 juta),” katanya.