Keputusan Perolehan Tentera, Polis Terkait Isu Rasuah Dibeku

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua keputusan perolehan membabitkan tentera, polis serta agensi berkaitan, yang terkait dengan isu rasuah, dibekukan sementara.

Perdana Menteri berkata, ia bagi bertujuan perkara terbabit diteliti serta disusun semula bagi memastikan peraturan proses perolehan dipatuhi sepenuhnya dan bebas daripada unsur rasuah.

Beliau menegaskan langkah itu penting kerana masih wujud budaya memandang ringan isu rasuah.

Menurutnya, ada pihak mempertahankan perbuatan berkenaan, termasuk ketika tindakan diambil terhadap bekas pemimpin yang memiliki kekayaan berbilion ringgit.

“Di Parlimen umpamanya, apabila tindakan diambil terhadap mantan-mantan menteri yang ada kekayaan berbilion (ringgit), kadang-kadang kita disanggah dan tidak diberikan kerjasama.

“Budaya buruk dan merosakkan ini mesti diperbaiki segera,” katanya.