Kepulangan Sukarelawan GSF Dirai

Foto Fail

KUALA LUMPUR: Satu himpunan khas akan diakan bagi meraikan kepulangan semua 23 sukarelawan negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata himpunan itu juga bagi terus menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Palestin.

“Insya-Allah, saya menantikan ketibaan mereka di Kuala Lumpur. Kita juga akan cuba sesuaikan masa, pada waktu malam. Kita buat himpunan sedikit untuk (mereka) kongsikan pengalaman, bagus juga,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook yang disertakan rakaman perbualan bersama delegasi Malaysia di Istanbul, Turkiye.

Khamis lalu, semua 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Mereka berjaya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul pukul 8.40 malam waktu Malaysia.