Kenyataan Saya Dimanipulasi, kata Fuziah

Foto Berita Harian / Datuk Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh menyifatkan ucapannya ketika Majlis Pelancaran Program Kotak Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Fuziah berkata, laporan yang dikeluarkan itu berniat jahat dan tidak memberi gambaran jelas mengenai usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan dalam membantu rakyat.

“Saya terkilan melihat laporan media berkenaan yang tidak menggambarkan usaha kerajaan dengan tepat. Setiap media harus lebih bertanggungjawab dan mengambil konteks penuh ucapan menteri supaya tidak menyinggung rakyat serta memberikan gambaran secara menyeluruh.

“Saya syak ada pihak berniat jahat kerana pandangan saya dimanipulasi,” katanya.

Sebelum ini, terdapat portal media melaporkan Fuziah menyatakan meskipun nilai RM100 kecil bagi sesetengah orang, namun bagi warga emas yang hidup berpasangan jumlah itu cukup untuk menampung keperluan bagi tempoh sebulan.

Laporan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkan Fuziah tidak memahami penderitaan rakyat.