
Siapa selepas Lee Chong Wei? Tujuh tahun selepas Chong Wei memenangi Terbuka Malaysia, kita masih kempunan kejuaraan.
“Ini soalan yang perlu dijawab oleh badan induk badminton. Apa yang mereka lakukan sejak 2018, iaitu kali terakhir kita menang?” soal mantan pemain badminton negara, Roslin Hashim.
Pemain yang pernah memenangi banyak kejohanan dan kini mengendali akademi badminton sendiri di Puncak Alam itu berpendapat prestasi di Terbuka Malaysia baru-baru ini hambar.
Mengecewakan walaupun ada sedikit peningkatan, katanya.
“Sepatutnya bermain di tempat sendiri jadi kelebihan. Mungkin pemain rasa tertekan atau ragu-ragu seperti kata Rexy Mainaky. Bagi saya itu adalah kelemahan mental,” katanya.
Menurutnya, untuk mengatasi kelemahan mental, pemain mesti tingkatkan kecergasan kerana tahap fitness boleh meningkatkan kekuatan mental.
Ragu-ragu itu, kata Roslin adalah musuh utama pemain dan apa yang disuarakan oleh Rexy Mainaky itu benar.
Dalam pertandingan, katanya, pemain mesti pandai baca strategi lawan untuk mengatasi saat ketinggalan mata.
Apakah Roslin bersetuju dengan pandangan Rexy Mainaky yang menganggap pemain wanita negara manja dan sering memberi pelbagai alasan.
“Bagi saya, pemain yang manja dan sering beri pelbagai alasan tidak layak mewakili negara,” katanya.