Kementerian Pendidikan rekod projek lewat jadual tertinggi

Foto MOE

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan bilangan tertinggi projek lewat jadual di bawah RMK12 iaitu sebanyak 46 projek, dedah lapoan Ketua Audit Negara.

Ini diikuti oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak 34 projek, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (12 projek) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan 11 projek.

Untuk itu, laporan itu menyarankan setiap kementerian atau jabatan hendaklah mengambil tindakan penyelesaian segera terhadap projek lewat jadual di bawah RMK12 bagi memastikan projek yang dirancang dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir 2025.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mendedahkan 157 projek kerajaan dikenal pasti lewat jadual (projek sakit) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) membabitkan 18 kementerian setakat 31 Disember 2024.

Laporan itu turut mendedahkan empat projek sakit mencatat kelewatan fizikal melebihi 20 peratus dan sudah menerima antara dua hingga 10 Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT) dengan tempoh lanjutan sehingga 785 hari.

Prestasi perbelanjaan projek itu bagi tempoh 2021 hingga 2024 adalah sebanyak RM315.932 bilion melebihi peruntukan yang diluluskan sebanyak RM307.908 bilion bagi tempoh yang sama.

Jumlah itu juga mencecah 76.1 peratus daripada jumlah siling peruntukan sebanyak RM415.0 bilion bagi tempoh RMK12 selepas Kajian Separuh Penggal RMK12.