Kemelut Negeri Sembilan: Zahid seru hormati institusi adat dan sistem sedia ada

Sumber Gambar : Bernama

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan beliau dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim tidak dititah menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, semalam, dan hanya mengetahui mengenai sesi tersebut menerusi laporan media.

Ditemui pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti 2026 (URIIS 2026) di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata kemelut di Negeri Sembilan perlu diselesaikan dengan baik. Menurut beliau, isu tafsiran perundangan dan soal kuasa tidak wajar dilihat dari sudut undang-undang semata-mata, sebaliknya institusi adat dan sistem yang sedia terbina di negeri itu juga perlu dihormati.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Tuanku Muhriz di Istana Negeri Sembilan di Changkat Persekutuan, susulan kenyataan Istana dua hari lepas yang membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta. Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco berkenaan telah memungkiri sumpah jawatan mereka, dengan merujuk Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang memperuntukkan seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selagi diperkenan Yang Dipertuan Besar.

Sementara itu, Ismail dilaporkan berkata pemberhentian atau penamatan seseorang exco kerajaan negeri yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar adalah satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Sumber : Bernama