Kemasukan pusat data baru tanpa tambah AI dihenti: PM

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kemasukan pusat data baru yang tiada kaitan dengan kecerdasan buatan (AI) sejak hampir dua tahun lalu akan dihadkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ketetapan itu dimuktamadkan bagi mengelak berlaku pertambahan beban ke atas grid kuasa nasional yang akhirnya mungkin menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna domestik.

Beliau mengakui berlaku lonjakan penggunaan tenaga dan air bagi pengoperasian keseluruhan pusat data yang berpangkalan dan beroperasi di negara ini.

“Semua permohonan baru (pusat data) yang tiada kaitan (dengan AI atau penambahan teknologi tinggi) dan hanya kerana (mahu) menggunakan kemudahan air dan harga tenaga yang murah, sudah dihentikan.

“Namun, jika (pusat data baru) yang ada manfaat daripada sudut penambahan teknologi tinggi dan AI, ini mudah untuk diluluskan,” katanya pada sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai kesan Rang Undang-undang (RUU) Tadbir Urus AI kepada penggunaan tenaga dan air serta usaha memastikan bekalannya mencukupi bagi pengguna domestik.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan bekalan tenaga dan air negara memadai untuk kegunaan pusat data baharu bagi tempoh antara satu hingga dua tahun lagi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jaminan itu dibuat berdasarkan unjuran dilakukan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

“Negara masih ada keupayaan bagi permohonan baharu (pusat data) antara satu hingga dua tahun ini. Bagaimanapun, kita ada usaha lain (untuk mengatasi isu bekalan tenaga dan air).

“Umpamanya, Grid Tenaga Asean yang sedang disenggara dari Vietnam hingga Semenanjung Malaysia dan Singapura, selain cadangan mendapatkan tenaga dari Sarawak ke Semenanjung dan Singapura,” katanya.