Kemajuan Ketara Siasatan Pengubahan Wang Haram 1MDB

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) dan Kumpulan Asia/Pasifik (APG) mengenai Pengubahan Wang Haram menyatakan antara 2019 dan Februari 2025, Malaysia mendapat semula sejumlah 8.11 bilion euro (RM38.87 bilion) dalam bentuk aset, dengan 75 peratus daripadanya berkaitan kes 1MDB.

Laporan FATF dan APG menyebut siasatan pengubahan wang haram yang rumit berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dianggap satu pencapaian penting.

Laporan itu juga menyatakan ia menunjukkan peningkatan penyelarasan di antara pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang (LEA), Bank Negara Malaysia (BNM), Unit Perisikan Kewangan (FIU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebahagian besar aset berkaitan 1MDB dipulangkan melalui penyelesaian dan tindakan pelucuthakan sivil di luar negara, katanya dalam Laporan Penilaian Bersama (MER) setebal 275 muka surat yang dikeluarkan semalam.

Penilaian bersama FATF dan APG terhadap Malaysia menilai keberkesanan langkah-langkah negara dalam mencegah pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan proliferasi pembiayaan (AML/CFT/CPF) serta tahap pematuhannya terhadap piawaian antarabangsa FATF dalam tempoh lawatan oleh pasukan penilai antarabangsa pada Februari 2025.