Kelayakan guna BUDI95 diselaras sementara kepada 200-liter sebulan

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kelayakan penggunaan BUDI95 diselaraskan sementara daripada 300-liter kepada 200-liter sebulan berkuatkuasa 1 April ini.

Langkah itu untuk memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan serta ekonomi dunia.

Perdana Menteri berkata penyelarasan berkenaan tidak menjejaskan sebahagian besar pengguna memandangkan data menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.

“Kita (sudah) meneliti apakah penggunaan BUDI95 ini mencukupi. Kita dapati, purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter, maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang dari 200 liter sebulan, maka tidak terjejas.

“Oleh itu, kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026.

“Langkah ini tentunya sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu,” katanya