Kekosongan 3 kerusi DUN Perlis akan dimaklumkan kepada SPR minggu depan

Foto Bernama

KANGAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan, akan mengemukakan pemakluman rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi DUN, pada minggu depan.

Memetik sumber berita BERNAMA, Rus’sele berkata, pihaknya mempunyai tempoh 21 hari untuk berbuat demikian selepas mengumumkan berlaku kekosongan itu bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji semalam susulan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan daripada PAS terhenti serta-merta selaras Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

“Pihak saya ambil sedikit masa untuk maklum secara rasmi kepada SPR kerana perlu selesai beberapa perkara terlebih dahulu”

Menurut beliau, ada keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan di tiga kawasan itu demi kepentingan kestabilan kerajaan meskipun usia DUN Perlis sudah melebihi tiga tahun pada 18 Disember lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN memenangi 14 kerusi DUN di Perlis, membabitkan sembilan ADUN PAS dan lima ADUN BERSATU, manakala seorang ADUN Pakatan Harapan (PH) daripada PKR bagi kerusi DUN Indera Kayangan.