Kekerapan Perkhidmatan Kereta Api Meningkat Menjelang 2028

KUALA LUMPUR — Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sedang membangunkan pelan strategik 10 tahun bagi meningkatkan kekerapan serta kebolehpercayaan perkhidmatan kereta api, dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia beralih daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam. Ketua Pegawai Eksekutif RAC Datuk Azhar Ahmad berkata pelan itu turut menentukan jumlah tren yang diperlukan bagi menampung pertumbuhan penduduk serta permintaan penumpang pada masa depan.

“Orang ramai perlukan perkhidmatan yang boleh diharapkan untuk yakin dengan pengangkutan awam. Kewujudan stesen dan infrastruktur rel juga tidak memadai jika tren itu hanya tiba sekali sejam,” katanya dalam temu bual Bernama Mobile Studio sempena Ekspo Pengangkutan Asia 2026 (TXA 2026).

Beliau berkata kerajaan sebelum ini mengumumkan penambahan 42 tren yang dijangka mula beroperasi menjelang 2028, sekali gus meningkatkan kekerapan perkhidmatan kereta api daripada setiap 30 minit kepada 10 hingga 15 minit.

Azhar berkata RAC juga sedang mengenal pasti kaedah menghidupkan semula aset rel sedia ada serta membangunkan kawasan sekitar stesen menerusi pembangunan berorientasikan transit (TOD), yang menyepadukan kemudahan pengangkutan dengan pembangunan komersial. Antara inisiatif yang dirancang ialah pembangunan Seremban Sentral dengan kerjasama Sunway Group, manakala usaha serupa turut dipertimbangkan bagi stesen di Ipoh dan Kuala Lumpur.

“Pada akhirnya, kami mahu menyuntik nafas baharu, penggunaan semula dan menjana kembali aset-aset rel untuk memberi peranan baharu serta mewujudkan nilai lebih hebat bagi orang awam,” katanya. Menurut beliau, TOD merupakan elemen penting kerana penambahbaikan pengangkutan awam bukan sekadar menambah bilangan tren, tetapi turut memastikan pembangunan di sepanjang koridor rel memudahkan orang ramai mengakses kawasan kediaman dan komersial tanpa bergantung sepenuhnya kepada kenderaan persendirian.

RAC turut berusaha menarik penyertaan sektor swasta dalam pembangunan kereta api termasuk terminal kargo dan pelabuhan darat, bagi menyokong hasrat kerajaan mengalihkan pengangkutan barangan daripada jalan raya kepada rel. “Penghantaran barangan adalah satu perniagaan komersial.

Sehubungan itu, kami dalam proses mengenal pasti cara untuk menarik pelaburan swasta tanpa bergantung kepada pembiayaan kerajaan,” kata Azhar, sambil menambah pihaknya meneliti pembangunan terminal kargo dan pelabuhan darat untuk dikendalikan syarikat swasta.

Beliau berkata pembangunan sedemikian memberi sokongan kepada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang kekal sebagai pengendali perkhidmatan kargo, selain mengukuhkan industri rel tanpa meletakkan keseluruhan beban kewangan kepada kerajaan.

Sumber : Bernama