Kekal UIAM sebagai institusi berteraskan tauhid

Foto NSTP

GOMBAK: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mesti kekal sebagai sebuah pusat ilmu berteraskan tauhid yang bukan saja melahirkan graduan dalam bidang sains, undang-undang, ekonomi dan perubatan, tetapi juga insan beretika, berintegriti dan bijaksana.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menegaskan UIAM mesti menjadi contoh kepada rakyat kerana pendidikan berteraskan tauhid menjadi benteng paling kukuh terhadap rasuah, pemikiran sempit, dadah, gangsterisme dan keruntuhan moral.

“UIAM mesti menentukan haluannya sendiri, kerana institusi ini bukan untuk bersaing dengan sesiapa kerana ia sudah berdiri megah dalam kelasnya tersendiri.

“UIAM tidak perlu kedudukan untuk mengesahkan nilainya kerana harga institusi ini tidak diukur melalui angka tetapi melalui akhlak, integriti dan kecemerlangan insan yang dilahirkannya,” titah baginda di Majlis Konvokesyen UIAM ke-41.