
SEREMBAN: Tindakan sebuah kedai nasi kandar di kawasan pusat beli-belah di Palm Mall, di sini dikatakan mencuci sisa makanan dipercayai untuk dimasak semula..
Perbuatan pekerja kedai makan itu kira-kira jam jam 12 tengah malam tadi dikesan orang awam yang kebetulan berada di kawasan berhampiran.
Orang awam kemudian merakam perkara itu sebelum video mengenainya dimuat naik di media sosial.
Saksi kejadian itu memaklumkan, ketika kejadian dia berada di kawasan parkir hadapan Palm Mall, sebelum ternampak kejadian di bahagian belakang kedai makan itu.
“Ketika itu seorang pekerja sedang mencuci baki makanan seperti daging ayam, daging kambing, tauhu dan ayam yang jelas lebihan masakan, kemudian diasingkan ke dalam dulang.
“Perkara itu amat tidak boleh diterima dan sangat membahayakan kesihatan orang awam,” katanya.
Katanya, rakan pekerja lain cuba mengelirukannya dengan jawapan tidak jujur, namun akhirnya tersasul dan mengaku makanan itu memang akan dimasak semula dan dikatakan tidak bahaya.
Justeru, dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas kerana yakin perbuatan itu bukan kali pertama.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zuraida Mohamed, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.