KD Maharajalela lakukan pelayaran sulung

Foto Lunas

KUALA LUMPUR: Akhirnya, Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) KD Maharajalela melakukan pelayaran sulungnya kelmarin selepas beberapa kali mengalami kelewatan dalam proses pembinaan.

KD Maharajalela adalah aset pertahanan pertama dihasilkan secara domestik.

Pencapaian penting industri pertahanan maritim negara itu diketuai pasukan tempatan berbakat serta disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), Azhar Jumaat.

LUNAS dalam muat naik di Facebook, menyifatkan kejayaan itu mencerminkan semangat setiakawan dan komitmen yang tinggi serta profesionalisme.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan LCS di atas dedikasi serta usaha kolektif menjayakan pencapaian ini,” katanya.

LCS 1 KD Maharajalela melakukan pelayaran sulungnya untuk menguji sistem jentera, jana kuasa, sistem pendingin hawa dan sistem ‘propulsion’ (pendorong).

Ia penting sebagai proses permulaan memastikan LCS 1 berkeupayaan untuk belayar di lautan selepas kapal itu memulakan fasa ujian laut di peringkat limbungan sejak 20 Januari lalu.