
KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan tahap tertinggi akan dilaksanakan sebaik tiga penjenayah warga Malaysia yang ditahan di Mumbai, India, tiba di negara ini.
Ketiga-tiga penjenayah itu dijangka diterbangkan kembali ke tanah air dalam masa terdekat.
Sumber berkata, 10 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengiringi ketiga-tiga penjenayah berkenaan sebaik proses ekstradisi terhadap mereka selesai dijalankan.
Difahamkan, ketiga-tiga mereka pada masa ini ditempatkan di bawah ‘pengawasan keselamatan tahap tinggi’ di sebuah bilik khas di lapangan terbang dan akan diserahkan kepada PDRM sebelum dibawa kembali ke tanah air.
Sekiranya tiada halangan, mereka (tiga penjenayah) dijangka dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun bergantung kepada situasi semasa di Mumbai.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka akan dikawal dengan pengawasan polis sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.