
SHAH ALAM: Wajarkah bungkusan makanan tertera kalimah Allah, Muhammad dan Masya Allah digunakan untuk nasi kandar?
Inilah yang dilakukan oleh restoran nasi kandar Thoulath Maju cawangan Kota Warisan, Sepang, Selangor.
Perlakuan itu tular di beberapa hantaran di Threads yang mendakwa premis itu menggunakan bungkusan makanan tertera kalimah berkenaan.
Pengurus restoran cawangan itu, Abdul Razak Abu Bakar, berkata pihaknya mengambil tanggungjawab penuh dengan menukar bungkusan makanan lama itu kepada versi baru sejak malam tadi.
Menurutnya, pengurusan sama sekali tidak berniat untuk menyinggung sensitiviti umat Islam dan berlapang dada menerima kritikan pelanggan demi penambahbaikan operasi perniagaan.
“Saya mewakili tiga cawangan Restoran Thoulath Maju benar-benar memohon maaf, kesilapan ini berlaku di premis di Kota Warisan. Namun, sekarang kami telah menukar bungkusan baharu di semua cawangan juga.
“Disebabkan tular di media sosial, kami segera menukar pembungkusan, kesilapan kami tidak menyedari bungkusan lama mengandungi kalimat Allah, Muhammad dan Masya Allah.
“Kami akui kesilapan dan memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.