
PUTRAJAYA – Kadar pengangguran negara menurun kepada 2.9 peratus pada Ogos 2026 berbanding tiga peratus pada Julai, dengan bilangan penganggur berkurang 8,700 orang kepada 511,600 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Dalam kenyataan Statistik Tenaga Buruh bagi Ogos 2026 yang diterbitkan hari ini, DOSM memaklumkan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus kepada 16.87 juta orang berbanding 16.85 juta orang pada bulan sebelumnya.
Selaras perkembangan itu, bilangan tenaga buruh naik 0.1 peratus kepada 17.39 juta orang, manakala kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 71 peratus daripada 70.9 peratus. Kategori pekerja yang merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja turut meningkat secara marginal 0.1 peratus kepada 12.63 juta orang. “Sehubungan itu, bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah 0.2 peratus kepada 3.17 juta orang (Julai 2026: 3.16 juta orang),” menurut kenyataan itu.
DOSM memaklumkan penganggur aktif untuk mereka yang bersedia bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 79.2 peratus daripada jumlah penganggur, dengan bilangannya menurun 1.8 peratus kepada 405,100 orang. “Dalam kalangan penganggur aktif, 64.2 peratus telah menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala mereka yang menganggur jangka panjang melebihi setahun merangkumi lima peratus,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bilangan penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan tersedia menurun 1.2 peratus kepada 106,500 orang. Bagi belia, kadar pengangguran kumpulan 15 hingga 24 tahun menurun 0.1 mata peratus kepada 10.1 peratus membabitkan 291,300 orang, manakala kumpulan 15 hingga 30 tahun juga susut 0.1 mata peratus kepada 6.3 peratus dengan 394,600 penganggur.
Bilangan penduduk di luar tenaga buruh pula menurun secara marginal 0.1 peratus atau 4,500 orang kepada 7.11 juta orang pada Ogos, dengan kerja rumah dan tanggungjawab keluarga sebagai penyumbang terbesar iaitu 43.6 peratus, diikuti mereka yang bersekolah atau menjalani latihan (40.2 peratus) dan 16.2 peratus atas sebab lain termasuk persaraan serta hilang upaya. DOSM berkata prestasi positif pasaran buruh yang berterusan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara. “Melangkah ke hadapan, peningkatan produktiviti pekerja melalui pemerkasaan kemahiran dan penggunaan teknologi adalah penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Sumber : Bernama