
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada kerajaan negeri dalam isu sekatan lesen premis perjudian di Kedah.
Berikutan itu, Kerajaan negeri akan meneliti proses undang-undang seterusnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria.
Menurutnya, beliau akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebelum bertemu Penasihat Undang-Undang Negeri bagi meneliti hala tuju tindakan selepas ini berhubung perkara itu.
“Saya amat kecewa dan terkilan dengan keputusan hasil proses perundangan yang telah menyekat hasrat dan usaha Kerajaan Kedah untuk mengharamkan sepenuhnya operasi premis perjudian berlesen di negeri ini.
“Keputusan itu jelas tidak mencerminkan aspirasi dan kehendak majoriti rakyat Kedah yang menolak kewujudan aktiviti perjudian,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook beliau.