Judi haram: Kerajaan Tegas Banteras Walau Tak Mudah

Foto PMO

KUALA LUMPUR: Usaha membanteras judi haram di negara ini akan terus dipergiat walaupun ia bukan sesuatu yang mudah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil memberi jaminan itu, Perdana Menteri berkata sehingga kini, hasil tindakan penguatkuasaan ke atas kegiatan itu menyaksikan nilai rampasan mencecah berbilion ringgit.

Beliau bagaimanapun mengakui pelbagai cabaran perlu dihadapi dalam usaha membendung kegiatan itu.

“Tidak mudah kerana judi dalam talian kadang-kadang berpangkalan di luar negara.

“Keduanya, mekanisme elektronik itu sangat canggih, dia boleh buka dan tutup dengan kadar yang segera,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) sama ada kerajaan melihat pembanterasan operator perjudian haram sebagai langkah pelengkap untuk menutup ketirisan hasil negara supaya usaha konsolidasi fiskal tidak bergantung kepada mengurangkan subsidi sahaja.

Mengulas lanjut, Anwar menambah, kerajaan juga memberikan tumpuan meningkatkan kebertanggungjawaban dan kesedaran rakyat terhadap perkara bertentangan dengan undang-undang negara selain langkah penguatkuasaan bagi menangani aktiviti perjudian haram.