JPMorganChase setuju bayar RM1.4 bilion, selesai tuntutan berkaitan 1MDB

Foto Reuters

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dan JPMorganChase mencapai persetujuan untuk menyelesaikan semua perkara berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sekali gus menamatkan sebarang tuntutan undang-undang yang masih berjalan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, di bawah perjanjian penyelesaian itu, JPMorganChase akan menyumbang sebanyak RM1.4 bilion (AS$330 juta) ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia, tanpa pengakuan liabiliti.

“Perjanjian penyelesaian ini meliputi semua tuntutan sedia ada dan berpotensi, selain mengikat kedua-dua pihak daripada mengemukakan sebarang tuntutan atau litigasi baharu pada masa hadapan yang berkaitan dengan 1MDB.

“Setiap pihak juga akan menarik balik semua rayuan berhubung saman yang telah difailkan oleh 1MDB terhadap JP Morgan (Switzerland) Ltd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Langkah itu sekali gus memperkukuh usaha kerajaan memulihkan semula dana 1MDB yang diseleweng, dengan pelbagai aset dan dana berjaya dibawa pulang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.