Johor Umum Ikhtiar RM209 Juta Bantu Rakyat

Foto Pejabat Menteri Besar

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mengumumkan 42 inisiatif tambahan membabitkan jumlah keseluruhan RM209 juta untuk dikembalikan semula kepada seluruh rakyat negeri ini susulan pencapaian baik ekonomi Johor setakat ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata secara keseluruhan, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada 1.9 juta penerima di seluruh negeri ini bagi menghadapi cabaran kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, inisiatif itu merangkumi 25 inisiatif membabitkan beban kos sara hidup rakyat dan 17 lagi inisiatif tambahan dalam peningkatan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi serta kesejahteraan sosial.

“Setiap ringgit hasil negeri yang bertambah, tidak hanya diangkat sebagai pencapaian dalam bentuk angka semata-mata, tetapi apa yang lebih penting dan bermakna adalah hakikat, ia akan disalur serta dikembalikan, terus kepada rakyat.

“Peningkatan hasil negeri yang naik secara drastik ini disebabkan sumbangan melalui Johor-Singapura Zon Ekonomi Khas (JS-SEZ).

“Kerajaan Negeri akan memastikan, limpahan hasil ini akan sentiasa disalurkan kepada rakyat Johor di setiap pelusuk negeri bukan sahaja di kawasan JS-SEZ,” katanya ketika Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor di Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Kota Iskandar di sini, semalam.