
BUKIT GANTANG: Jenazah yang sudah dikebumikan timbul semula ke permukaan tanah kesan banjir kilat yang melanda Trong dalam daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) di sini.
Banjir juga merosakkan struktur kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan Kuala Trong, kawasan di mana jenazah yang sudah disemadikan timbul semula ke permukaan tanah.
Menurut penduduk jenazah dikebumikan sejak bulan lalu itu dihanyutkan arus deras banjir selepas terkeluar dari keranda kayu dengan terdapat beberapa kubur lain dilihat turut terhakis.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata beliau dimaklumkan mengenai insiden itu, yang antara lain turut merosakkan sebilangan kepok kubur serta batu nisan.
“Arus deras banjir kali ini menghanyutkan banyak, termasuk kubur seperti gambar yang kita tengok di Kuala Terong hinggakan keranda berisi mayat (jenazah) juga keluar serta mengakibatkan jalan retak.
“Saya akan sewa jengkaut dan sebagainya untuk tolak semula tanah kubur itu untuk menutupnya semula. Jenazah mungkin orang kampung sudah ambil,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Abu Hussin yang juga Ketua Task Force Majlis Tindakan Keterjaminan Makanan Negara (NACCOL) menyifatkan banjir kali ini antara yang terburuk membabitkan kawasan Parlimen yang diwakilinya itu.
“Seramai 1,813 mangsa terdiri 645 keluarga ditempatkan di 19 PPS bagi daerah LMS yang turut merangkumi kawasan Parlimen Bukit Gantang susulan banjir kilat kali ini.