Jenayah Siber Tumpuan Utama AMMTC

Foto Fail

KUALA LUMPUR: Negara anggota Asean sepakat memberikan tumpuan utama terhadap isu jenayah siber termasuk penipuan dalam talian sebagai bidang keutamaan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC), akan datang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata bidang pelanunan laut dan jenayah ekonomi antarabangsa digugurkan daripada keutamaan.

Bagaimanapun katanya, usaha menangani jenayah terbabit (pelanunan laut dan jenayah ekonomi antarabangsa) tetap diteruskan.

Beliau berkata, fokus baharu berkenaan mencerminkan realiti cabaran moden yang perlu ditangani bersama negara Asean secara tuntas.

“Pada akhir mesyuarat AMMTC ke-19 kali ini, negara Asean bersetuju untuk menggugurkan bidang pelanunan laut dan jenayah ekonomi antarabangsa daripada bidang keutamaan AMMTC.

“Aktiviti pelanunan masih ada, contohnya dulu di kawasan timur Sabah penculikan untuk tebusan cukup popular tapi pengalaman kita sejak Januari 2020, tiada lagi sebarang insiden berkaitan jenayah berkenaan dikesan.

“Jadi negara-negara Asean berpendapat dari sudut urutan keutamaan, ada kewajaran untuk pelanunan ini dikebelakangkan dan beri lebih fokus kepada penipuan dalam talian,” katanya.