
PUTRAJAYA: Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jawatankuasa khas itu akan diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, Azam Baki menegaskan beliau bersedia untuk disiasat oleh kerajaan berhubung isu pegangan saham yang didakwa dimilikinya.
Menurutnya, beliau terbuka untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti secara khusus perkara berkaitan pemilikan saham itu.
Katanya, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan kerana semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas setiap penjawat awam.
“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.