JAS Siasat Pencemaran Air di Bagan Datuk, Dandang Kilang Belacan Dirampas

Foto Jas Perak

Beribu-ribu ikan ditemui terapung dalam parit di Kampung Sungai Payung dan Kampung Sungai Tiang Baroh, menyebabkan Jabatan Alam Sekitar Perak merampas sebuah dandang kilang memproses belacan di Bagan Datuk.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Teh Kok Lim berkata kilang itu disyaki melepaskan air buangan tidak terawat ke dalam sistem saliran berdekatan, yang dipercayai menjadi punca pencemaran.

“Siasatan lanjut di kilang itu mendapati ada kesan warna belacan kemerah-merahan pada lantai bahagian bawah dandang yang digunakan bagi menghasilkan wap memanas dan memasak udang sebelum diproses menjadi belacan.

“Bagi tujuan siasatan, dandang itu dirampas kerana dipercayai menjadi punca pencemaran,” katanya.