
PAPAR: Parti yang gagal mentadbir Sabah dengan baik sebelum ini harus ditolak dalam pengundian Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah, hari ini kata Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau mengingatkan rakyat harus menilai dan memilih pemimpin yang mampu menerajui negeri atau sekurang-kurangnya berupaya menguruskan kawasan yang diwakili.
“Ada (pemimpin dan parti) yang sudah diberi peluang menjadi kerajaan tetapi dalam pilihanraya ini masih mahu mendapat sokongan daripada rakyat untuk menjadi kerajaan semula.
“Mereka sudah diberi peluang tetapi gagal mentadbir Sabah. Dua tahun setengah mereka ditolak oleh rakyat… takkan dalam pilihanraya ini, kita bagi lagi mereka peluang? Mana boleh… mereka sudah gagal.
“Jadi, bagi peluang kepada GRS kerana kita telah membuktikan berjaya membangunkan Sabah dan ekonomi rakyat,” katanya ketika berucap pada program Jelajah ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ GRS Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis, di sini, semalam.