
SHAH ALAM: Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak boleh berakhir sebagai sebuah laporan semata-semata.
Menurut Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sebarang syor berkaitan dengan pelanggaran undang-undang hendaklah disusuli dengan siasatan serta tindakan lanjut oleh pihak berkuasa mengikut lunas perundangan dan berdasarkan bukti yang mencukupi.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, tiada mana-mana pihak wajar diberikan layanan istimewa apabila membabitkan amanah serta kepentingan awam.
Beliau berkata, ABIM menyambut baik pendedahan laporan RCI berhubung pengurusan TH serta kesediaan kerajaan mendedahkan dapatan itu kepada umum, yang disifatkan sebagai manifestasi komitmen terhadap ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam mengurus sebuah institusi yang memegang amanah jutaan pendeposit Islam di negara ini.
“ABIM turut mengambil maklum dan menghargai usaha kerajaan Madani sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam melaksanakan langkah pemulihan institusi TH, termasuk menstabilkan kedudukan kewangan, memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan pendeposit secara berperingkat.
“Usaha ini wajar diiktiraf sebagai sebahagian daripada proses pembaikan institusi yang berterusan,” katanya.