
PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara akan memperluaskan program Malaysiaku Merdeka yang memberi penekanan kepada aktiviti pengibaran Jalur Gemilang sepanjang tahun.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata pelaksanaan ini difokuskan di peringkat akar umbi melalui Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kelab Rukun Negara (KRN) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN).
“Dengan pendekatan ini, kita mahu memastikan semangat cintakan negara terus segar dan berakar kukuh dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.
“Sama ada di desa atau di kota, di sekolah atau universiti, di pejabat kerajaan mahupun sektor swasta Jalur Gemilang harus berkibar dengan penuh kebanggaan.
“Biarlah ia menjadi lambang penyatuan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama, yang sentiasa teguh berdiri di bawah naungan satu bendera, satu negara, Malaysia tercinta,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kebangsaan semalam.
Aaron berkata, semua pihak perlu membuang mentaliti bahawa Jalur Gemilang hanya perlu dikibarkan pada bulan kebangsaan semata-mata.