
MELAKA: Perkhidmatan setiausaha sebuah masjid di Bukit Baru yang didakwa menonton video lucah di pejabat masjid ditamatkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Kontroversi rakaman pegawai masjid itu menonton video lucah tular di media sosial baru-baru ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal-Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid (JKTU).
Beliau berkata, setiausaha itu juga turut mengemukakan surat peletakan jawatan kepada JAIM.
Beliau berkata, peletakan jawatan itu diterima sekali gus menamatkan tugas individu terbabit sebagai setiausaha masjid serta pengerusi sebuah surau kampung di Paya Ikan, yang kedua-duanya adalah lantikan di bawah JAIM.
“Mesyuarat JKTU sudah membincangkan perkara ini dan kita mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan beliau berdasarkan surat peletakan jawatan yang diterima,” katanya
Dalam perkembangan sama, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, status imam tiga atau imam rawatib yang merakamkan video berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa masjid.