Isu kuil: Kenyataan Arun Dorasamy didakwa menghasut

Foto Sinar Harian

GOMBAK: Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata lapan laporan polis dibuat oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) terhadap individu dikenali Arun Dorasamy yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung isu kuil di Rawang.

Menurutnya, laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada Selasa oleh wakil-wakil NGO terbabit.

Katanya, tindakan itu diambil susulan dakwaan bahawa kenyataan individu berkenaan berunsur perkauman dan agama sehingga mencetuskan kegusaran awam.

“Kita mengeluarkan kenyataan media sebelum ini selepas dimaklumkan bahawa Arun didakwa mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan sentimen kaum dan agama.

“Kenyataan itu didakwa menyebabkan isu ini berlarutan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Muhammad Hariz berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didakwa membuat kenyataan palsu atau berunsur hasutan.

“Kita juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebar berita palsu berkaitan isu ini,” katanya.

Beliau berkata, Yayasan Kubra selaku pemilik berdaftar tanah berkenaan menegaskan isu yang timbul adalah berkaitan pencerobohan tanah yang didakwa telah berlaku sejak sekian lama dan bukannya melibatkan unsur perkauman atau keagamaan.