
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin, berkata isu keselamatan negara tidak seharusnya dijadikan modal politik.
Sebaliknya, menurutnya, ia memerlukan kesepakatan bipartisan demi memastikan kestabilan dan kedaulatan tanah air terus terpelihara daripada sebarang elemen pengaruh asing.
Beliau berkata, masa depan negara terletak sepenuhnya di tangan rakyat dan kerajaan sendiri, bukannya ditentukan oleh kuasa luar.
Pengukuhan kekuatan dalaman adalah kunci utama bagi memastikan Malaysia tidak mudah goyah oleh percubaan pihak asing yang cuba mengambil kesempatan atas perbezaan ideologi politik tempatan, katanya.
“Masa depan ini bergantung kepada Malaysia, kerajaannya dan rakyatnya sendiri, bukan terletak di tangan orang luar. Namun, kita harus memastikan kekuatan dalaman itu diperkukuhkan lagi.
“Harus wujud satu konsensus dalam semua lapisan masyarakat, khususnya elit politik bahawa keselamatan adalah satu perkara yang tidak patut dipolitikkan,” katanya