
KUALA LUMPUR: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dikenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) sebanyak RM1 juta susulan pelanggaran berkaitan perlindungan maklumat pelanggan dan keselamatan siber pada 20 Januari 2026.
Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan Bank Rakyat gagal melaksanakan piawaian keselamatan siber yang kukuh seperti ditetapkan di bawah dokumen dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT PD).
Selain itu, Bank Rakyat turut didapati tidak melindungi maklumat pelanggan melalui kawalan mencukupi seperti yang digariskan dalam dokumen dasar Pengurusan Maklumat Pelanggan dan Pendedahan yang Dibenarkan (MCIPD PD).
“BNM mendapati bahawa Bank Rakyat telah melanggar beberapa keperluan di bawah RMiT PD dan MCIPD PD, berikutan insiden keselamatan siber yang melibatkan ancaman luar dan pelaku mendapat akses tanpa kebenaran terhadap infrastruktur teknologi maklumatnya.
“Pelanggaran itu berlaku disebabkan oleh kawalan keselamatan siber dan tindak balas insiden yang tidak mencukupi,” menurut kenyataan BNM.
Menurut BNM, Bank Rakyat telah mengambil langkah pemulihan bagi memperkukuh keselamatan siber serta meningkatkan kawalan, sumber dan tadbir urus teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).